KAMPUNG GAJAH: Seorang lelaki dikhuatiri lemas selepas hilang ketika memancing di tali air dekat Jalan Kuala Parit Kampung Pasir Jenerih, di sini, semalam.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Sabarodzi Nor Ahmad berkata, mangsa dikenali sebagai Mohd Asrul Aafendy Shazali, 36 tahun.

Menurutnya, mangsa dikatakan memancing di kawasan tersebut pada pagi Isnin.

Motosikal dan peralatan memancing milik mangsa masih berada di lokasi berkenaan.

"Difahamkan, mangsa ada penyakit sawan. Dia disyaki memancing di kawasan itu pada waktu pagi dan kemudian hilang.

"Pihak bomba terima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 2.54 petang semalam.

"Seterusnya, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kampung Gajah, dibantu Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) BBP Teluk Intan, dikerahkan ke lokasi.

"Ketua operasi membuat size up dan mengarahkan anggota membuat pencarian di kawasan sekeliling. PPDA melakukan water surface searching di sekitar lokasi," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, seramai 47 orang dari pelbagai agensi terbabit dalam operasi pencarian tersebut, iaitu bomba (7), PPDA (3), polis (7), Angkatan Pertahanan Awam (5), RELA (15) dan orang awam (10).

Selain itu, bagi kekuatan logisitik, enam buah bot digunakan iaitu satu bot bomba, satu bot polis dan empat lagi milik orang awam.

Sabarodzi berkata, tiga anggota unit K9 bersama dua ekor anjing tiba di lokasi dan taklimat berkaitan pencarian dilaksanakan bersama agensi lain.

"Operasi pencarian diteruskan dengan konsep L.A.S.T. Anggota PPDA juga bersiap sedia bagi aktiviti menyelam.

"Pasukan penyelamat meneruskan pencarian menggunakan teknik follow the stream dan surface searching pada jarak 2 kilometer," katanya lagi.